Aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium MBPJ dilihat peluang buat Selangor FC menamatkan penantian kemenangan selama sembilan tahun.
Ini kerana kali terakhir Merah Kuning menewaskan Harimau Selatan ialah tahun 2017. Lebih manis, kemenangan itu dilakar dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Selangor yang ketika itu dibimbing P. Maniam menewaskan JDT 3-2 dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada Julai 2017.
Amri Yahyah muncul wira dengan meledakkan dua gol buat Selangor dalam aksi itu. Satu lagi gol disumbang Fairuz Abd Aziz.
Bekas pemain kebangsaan itu sekali lagi menjadi mimpi ngeri JDT apabila kedua-dua pasukan bertemu semula sebulan selepas itu.
Selepas ketinggalan menerusi gol Natxo Insa pada separuh masa pertama, Selangor bangkit menyumbat dua gol. Amri dan Andik Vermansyah memastikan Merah Kuning meraih tiga mata penuh.
Atas sebab itu, seorang penyokong bernama Danial Mazalan berharap kejayaan di Stadium Selayang itu dapat diulangi pada tahun 2026.
“Hari perlawanan. Kali terakhir kita menang dengan JDT, kembali kita kepada tahun 2017 di Stadium Selayang,” katanya di X.
“Adakah malam ini kita dapat menamatkan rekod kekalahan itu? Perlawanan malam ini lebih dari sekadar mengejar tiga mata bagi mereka yang memahami dan mencintai kelab sepenuh jiwa. Turun stadium dan jalankan tugas kita sebagai penyokong.”
Selangor dan JDT bakal berentap di Stadium MBPJ pada Ahad. Aksi ini juga dilihat peluang Selangor menebus kekecewaan tewas di pentas Piala Sumbangsih pada Ogos lalu.