England terpaksa melupakan khidmat pertahanan kental Arsenal, Ben White pada kejohanan Euro 2024 nanti.
Ini selepas pemain berusia 26 tahun itu tidak mahu menerima panggilan ke kem kebangsaan oleh pengendali England, Gareth Southgate menjelang kejohanan benua yang akan tiba tidak lama lagi.
Beberapa hari lalu, kecoh dalam kalangan bola sepak England mengenai ketiadaan nama Ben White dalam senarai pemain Three Lions ke kem latihan meskipun pemain tersebut tampil cemerlang bersama Arsenal musim ini.
Namun, Southgate dalam satu sidang media pada Mac lalu berkata, nama White memang berada dalam senarai awalnya, namun panggilan telefon daripada Pengarah Teknikal Arsenal FC merubah segalanya.
Edu sebagai Pengarah Teknikal Arsenal FC telah menelefonnya dan memaklumkan bahawa Ben White tidak mahu namanya berada dalam senarai pemain England selepas ini.
”Dia (Ben White) jelas sekali berada dalam prestasi terbaiknya, saya tidak boleh mengatakan dia tidak layak berada di sini (kem England),” katanya kepada pihak media.
“Saya dan John McDermott (Pengarah Teknikal England FA)ada menerima panggilan daripada Edu (Pengarah Teknikal Arsenal FC) minggu lalu yang mengatakan bahawa Ben White tidak mahu dianggap sebagai pemain England buat masa ini,” tambahnya lagi.
Tambahnya lagi, keputusan itu jelas mengecewakannya memandangkan prestasi White tidak pernah menghampakan setiap kali turun menyarung jersi The Three Lions dalam perlawanan sebelum ini.
Meskipun begitu, pintu buat White kembali ke pasukan tidak pernah tertutup dan beliau sentiasa terbuka untuk menerima kepulangan pertahanan kebal Arsenal itu.
”Bagi saya, ini sangat memalukan. Dia adalah pemain saya suka. Dia pemain yang kami bawa ke Euro (2020) dan ke Piala Dunia Qatar 2022.”
”Saya tidak mengetahui apa yang berlaku, tetapi saya menghormati keputusan beliau. Pintu untuk beliau sentiasa terbuka untuk kembali ke skuad kebangsaan England kerana beliau seorang pemain yang saya gemari.”
Untuk rekod, Ben White hanya melakukan empat penampilan bersama skuad senior England dengan kali terakhir beliau beraksi adalah pada Mac 2022 ketika persahabatan menentang Republic Ireland.
Tonton video sidang media Gareth Southgate: Di Sini.