Skuad Bosnia-Herzegovina Bawah 21 Tahun (B-21) memilih untuk tidak bersalam dengan lawan mereka, pasukan Israel B-21.
Insiden ini berlaku sebelum aksi terbaru kelayakan Kejohanan Bola Sepak Eropah B-21 di Budapest, Hungary baru-baru ini.
Portal Turkiye, Anadolu Agency melaporkan pemain Bosnia B-21 memilih untuk tidak berjabat tangan dan berjalan melepasi pasukan Israel B-21.
Tindakan tersebut dibuat atas dasar protes terhadap kekejaman yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Bosnia sentiasa memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin. Ini disebabkan negara itu juga berdepan skala kekejaman yang hampir sama semasa Perang Bosnia tercetus dari 1992 hingga 1995.
Ini termasuk insiden kejam di Srebrenica yang menyaksikan 8,000 lelaki dewasa dan kanak-kanak dibunuh pada Julai 1995.
Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tujuh mata dalam Kumpulan G.
Meskipun begitu, Bosnia menduduki tangga kedua di belakang pendahulu, Norway B-21. Norway mengetuai Kumpulan G dengan 12 mata.