Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon tetap menganggap Buriram United lawan yang hebat walaupun tanpa dua pemain utama pada aksi final pertama ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup
Pertembungan final ACC Shopee Cup musim ini menyaksikan juara bertahan, Buriram United bakal turun menentang wakil negara, Selangor dalam aksi pertama di Stadium MBPJ pada Rabu.
Kim Pan-gon meluahkan rasa bangganya dapat membawa Selangor dan nama Malaysia di pentas akhir ini selain turut memberitahu persiapan pasukan kini berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan.
”Kami sangat bangga kerana dapat mewakili Selangor dan kelab Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir. Ia sesuatu yang sangat mengujakan dan kami tidak sabar untuk perlawanan esok.”
“Setakat ini, pasukan berada dalam suasana yang sangat baik dan persediaan juga mantap. Kami sedia memberikan persembahan terbaik dan cuba memberikan keputusan yang paling menggembirakan buat peminat.”
Status Buriram United sebagai salah satu kelab handalan di ASEAN turut dihormati oleh Kim Pan-gon namun itu semua tidak menjadi penghalang kepada Selangot merealisasikan misi kemenangan.
“Kami menghormati Buriram United sebagai sebuah kelab yang mewakili Asia Tenggara dalam saingan ACLE. Mereka adalah kelab yang sangat disegani.”
“Pemain mereka amat kuat secara individu dan juga sebagai satu pasukan. Kami akan menghormati mereka sepenuhnya, tetapi kami juga akan membuktikan kemampuan kami dan mahu menang esok.”
Walaupun Buriram bakal kehilangan dua pemain utama iaitu Guilherme Bissoli dan Goran Causic, beliau melihat mereka masih mempunyai skuad yang sangat berkualiti serta kuat.
Tambahnya, fokus utama kini tertumpu kepada persediaan para pemain Selangor secara kolektif tanpa menghiraukan lebih lanjut tentang kelemahan pasukan lawan menjelang aksi nanti.
”Mengenai ketiadaan dua pemain utama mereka (Guilherme Bissoli dan Goran Causic), saya percaya pemain lain juga sama kuat,” komen Kim Pan-gon semasa sesi sidang media praperlawanan.
“Saya melihat ramai pemain yang bagus di sana. Jadi, kami tidak fokus pada fakta itu (kehilangan dua pemain tersebut), sebaliknya kami sentiasa bermain sebagai satu pasukan bagi meneroka potensi penuh kami sendiri.”
Perlawanan final pertama ACC Shopee Cup antara Selangor vs Buriram United akan berlangsung pada Rabu, 20 Mei di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.