Pemain eFootball JDT Kini Ranking Pertama Dunia

Johor Southern Tigers
Azim Noor
@mohdazim45
6:11pm 14/01/2023

Jenama JDT semakin dikenali bukan saja dalam arena bola sepak tetapi juga dalam arena sukan lain. Hari ini, wakil JDT dalam e-sukan iaitu JDT|GBX Esports menjadi perhatian dunia selepas wakil pasukan itu, Mohd Norhaikal Bin Mohamad Noh menjadi pemain nombor satu eFootball.

Haikal ketika ini berada di kedudukan pertama dengan 1,540 mata sambil diikuti rapat pesaingnya dari Brazil, Senegal dan Jepun. Pencapaiannya dikongsikan di laman media sosial JDT hari ini.

Sebaik ia diketahui, ia mendapat maklum balas positif pengguna media sosial yang melihat pencapaian Haikal sebagai menakjubkan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia e-sukan.

JDT|GBX Esports berada di kedudukan ke-14 dunia dan pertama bagi zon Asia untuk Siri Kelab FIFAe dan Piala Antarabangsa eFootball. Ini turut menjadikan JDT sebagai satu-satunya kelab Liga Malaysia yang bertanding dalam kejohanan tersebut.