Umum mengetahui pasukan Sabah FC bakal mengharungi Piala AFC musim ini. Bagi menghadapi saingan sengit di pentas Asia, Sabah telah membuat persediaan awal dengan membawa masuk beberapa pemain import untuk menguatkan pasukan.
Salah seorang pemain import yang dibawa masuk pada awal musim adalah Jailton Paraiba yang beraksi di posisi sayap. Namun sejak kebelakangan ini, kelibat pemain import dari Brazil itu tidak lagi kelihatan dalam sesi latihan pasukan Sabah.
Kali terakhir pemain berusia 32 tahun itu diturunkan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee adalah pada 13 Ogos yang lalu iaitu dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC. Perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan 0-2 buat Sabah.
Tinjauan di laman Transfermarkt memperlihatkan khidmat Jailton sebenarnya sudah tersisih sejak bulan Jun lagi akibat kecederaan. Tidak pasti apa yang telah terjadi kepada pemain sayap lincah itu sama ada masih ada bersama kelab, masih mengalami kecederaan atau sudah meninggalkan pasukan.
Manakala tinjauan di ruangan komen di Facebook rasmi Sabah FC, beberapa penyokong pasukan Sabah ada bertanyakan di manakah Jailton selepas sekian lama tidak kelihatan bersama pasukan Sabah sama ada dalam sesi latihan mahupun pada hari perlawanan.
Jawapannya sudah tentu ada pada pihak pengurusan Sabah. Ketiadaan Jailton masih menjadi tanda tanya di kalangan penyokong Sabah sehingga kini.