Harimau Malaya

6 Pemain Selangor Tidak Sertai Harimau Malaya Ke China

Nooa Harith Malaysia 6 Pemain Selangor Tidak Sertai Harimau Malaya Ke China
Malaysia NT
Advertisements

Skuad Harimau Malaya kehilangan khidmat enam pemain Selangor FC yang tidak dapat menyertai pasukan negara bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yemen pada November ini.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan rasmi pada Isnin, 9 November 2026 selepas menerima surat daripada pihak Selangor FC.

Enam pemain yang terlibat ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Menurut FAM, kesemua pemain berkenaan mengalami kecederaan selepas beraksi dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC pada Ahad, 8 November 2026.

Situasi tersebut menyaksikan Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terpaksa membuat perubahan terhadap senarai pemain yang dipanggil bagi menghadapi dua perlawanan berkenaan.

Sehubungan itu, lima pemain daripada Senarai Bersedia telah dipanggil untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain Selangor FC.

Lima pemain tersebut ialah Suhaimi Husin dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC, Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) serta Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC).

Harimau Malaya dijadualkan menentang China pada 14 November sebelum bertemu Yemen pada 17 November dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.