Apa yang selalu kita lihat, kad merah akan dilayangkan apabila terdapat terjahan keras dilakukan oleh mana-mana pemain. Namun di Belgium, ianya seakan-akan terbalik apabila pemain yang diterjah pula dilayangkan kad merah.
Pemain yang dilayangkan kad merah itu adalah pemain muda KRC Genk, Christopher Bonsu Baah. Insiden tersebut berlaku pada minit masa kecederaan separuh masa pertama yang mana menyaksikan kaki Bonsu dilihat tersangkut dengan kaki pemain KVC Westerlo.
Namun pengadil meluru ke arah Bonsu dan melayangkan kad merah. Bonsu kelihatan marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku kerana pada hemat beliau, beliau telah dikasari pemain lawan. Namun keputusan pengadil tersebut kekal dan muktamad.
Ketika kad merah dilayangkan, kedudukan KRC Genk sedang mendahului pasukan pelawat dengan keputusan 2-1. Perlawanan tersebut berakhir dengan kedudukan seri 3-3 dan jurulatih Genk, Wouter Vrancken menyalahkan kad merah tersebut sebagai punca utama Genk gagal mencapai kemenangan.
KRC Genk kini berada di tangga ke-7 Liga Belgium dengan mengumpul 15 mata daripada 10 perlawanan yang dilalui. Royale Union SG berada di tangga teratas liga dengan mengumpul 22 mata diikuti pasukan gergasi Belgium, Anderlecht.