Pemain Kedah Darul Aman dikhabarkan bakal mengikut jejak langkah pengendali, Nafuzi Zain.
Situasi semasa Sang Kenari menyaksikan beberapa nama besar pasukan disebut-sebut bakal meninggalkan pasukan.
Semuanya bermula selepas kapten Kedah, Habib Haroon membuat keputusan untuk membawa haluan ke Bahrain bersama Sitra SC.
Pemergian ini disusuli oleh dua penjaga gol iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan juga Fikri Che Soh yang menyertai seteru Liga Super.
Pemergian Nafuzi Zain yang dikatakan bakal membimbing skuad kebangsaan B-23 didakwa akan disusuli oleh anak buahnya yang bakal membawa haluan baharu.
Menerusi satu laporan oleh wartawan, T. Avineshwaran, beliau memaklumkan bahawa terdapat kemungkinan besar pertahanan Kedah, Irfan Zakaria bakal membawa haluan baharu.
“Selepas Nafuzi Zain meletakkan jawatannya, difahamkan bahawa pemain pertahanan tengah, Irfan Zakaria mungkin akan berpindah,” tulisnya di laman X.
Sony Norde juga disebut-sebut antara pemain yang turut mengangkat kaki meninggalkan Kedah tidak lama lagi.
Sang Kenari bakal beraksi berdepan KL City bagi aksi kedua pada 1 Disember jam 9 malam.