Advertisement
Matyo: Saya Tak Tahu Nafuzi Pakai Ayat Apa
Piala Malaysia
MakanBola
Astro Arena

Lagenda bola sepak Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha tertanya-tanya bentuk motivasi yang diterapkan oleh pengendali Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain.

Sang Kenari yang turun dengan skuad tempang berjaya melakar kemenangan 3-2 ke atas KL City pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Darul Aman.

Aksi itu juga menjadi momen terakhir buat jurulatih berusia 46 tahun itu yang bakal membawa haluan baharu selepas meninggalkan Kedah.

Individu yang mesra disapa Matyo ini melihat bahawa situasi Kedah tatkala sebahagian pemain memboikot pasukan dan tidak hadir bagi aksi menentang The City Boys itu boleh difahami.

“Bagi saya, saya tak boleh nak salahkan pemain yang memboikot perlawanan kerana mereka ada hak. Setiap pasukan memiliki masalah yang tersendiri. Saya pernah alaminya, jadi saya faham situasi pemain kedah contohnya.

Namun begitu, pujian telah diberikan kepada Nafuzi selepas berjaya memotivasikan pemain dalam kesebelasan utama untuk berjuang berhabis-habisan di atas padang.

“Saya juga nak puji Nafuzi Zain. Saya tak tahu dia pakai ayat apa, sampai pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama itu beraksi dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada Nindia Bola.

Nafuzi dalam satu hantaran memaklumkan bahawa beliau berterima kasih dan menghargai setiap detik yang dinikmati bersama Kedah Darul Aman selama hampir dua musim.

“Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC. Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong Hijau Kuning.

“Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa,” katanya.

Nafuzi dikaitkan dengan perpindahan bagi membimbing skuad Malaysia B-23 namun masih belum ada pengumuman rasmi setakat ini.