Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menzahirkan penghargaan beliau kepada pasukan utara tanah air itu.
Nafuzi tidak lagi bersama Sang Kenari selepas memilih mengundur diri sebagai pengendali pasukan itu baru-baru ini. Susulan itu, Kedah melantik Victor Andrag sebagai ketua jurulatih interim.
Ini menjadikan aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang KL City FC pada 22 November lalu sebagai aksi terakhir Nafuzi selaku jurulatih Kedah.
Meskipun tidak lagi bersama pasukan itu, jurulatih berusia 46 tahun itu tetap melahirkan penghargaan kepada Kedah. Ini kerana perjalanan suka dan duka yang dilalui bersama diharap menjadi pembuka kepada era yang lebih baik buat Sang Kenari.
“Berat untuk membuat keputusan namun saya memilih untuk tidak lagi bersama Kedah Darul Aman FC. Perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari menjadi perlawanan terakhir saya selaku ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC.
“Sudah tentu setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak namun saya percaya akan ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini.
“Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC. Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong Hijau Kuning. Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Nafuzi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemegang saham majoriti Kedah, Tan Sri Dr Daud Bakar atas sokongan yang diberi sepanjang melatih pasukan itu.
Bekas jurulatih Terengganu FC itu turut berharap penyokong setia Sang Kenari terus memberi sokongan Kedah untuk aksi-aksi mendatang.
“Buat penyokong yang sentiasa menyokong pasukan KDA FC ketika jatuh dan bangun. Tiada ayat dapat diungkapkan mengenai semangat penyokong.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong. Anda adalah antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman. Teruskan berada di belakang pasukan,” ujarnya.
Ramai penyokong Kedah ingin tahu ke mana destinasi Nafuzi selepas ini. Sebelum ini, namanya dicanang sebagai calon jurulatih baharu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).