Pemain Malaysia diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan pemilihan untuk berkelana di Eropah melalui perantaraan ejen.
Perkara ini disuarakan jelas oleh bekas jurulatih pasukan kebangsaan, B Sathianathan yang berharap agar pemain tidak terburu-buru untuk beraksi di luar negara.
Di samping mahu melihat para pemain berjaya, Sathia tidak mahu nasib yang sama berulang kepada pemain lain tatkala terdapat beberapa pemain Malaysia yang gagal merebut tempat di sana.
Beliau juga sempat berpesan kepada bintang muda sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi agar kekal 1-2 musim lagi bersama pasukan sebelum memikirkan hala tuju baharu.
Bekas jurulatih Selangor FC ini juga tidak mahu pemain berpotensi negara ‘dicampak’ ke mana-mana negara yang dimahukan ejen.
“Janganlah percaya ejen. Ejen ni dia bawa anak kamu ke contohnya Republik Czech dan menyebabkan kita tak tahu apa peningkatan dalam permainan seseorang pemain itu,” jelasnya kepada Astro Arena.
Sathia juga mahu pemain muda negara mencontohi perkembangan negara jiran apabila bintang mereka, Chanatip Songkrasin memilih untuk terbang ke Jepun apabila sudah memiliki pengalaman yang cukup di liga domestik.
Sebelum ini, Dulu Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pernah menyatakan bahawa seseorang pemain itu boleh dilepaskan oleh JDT sekiranya ada tawaran rasmi yang dikemukakan oleh kelab yang berminat tersebut.
Ini bagi memastikan para pemain tidak dilelong dengan begitu mudah hanya untuk kepentingan peribadi ejen.