Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat kejutan dengan memanggil nama pemain Melaka, V. Ruventhiran untuk kempen ASEAN Hyundai Cup.
Ini selepas nama pemain pertahanan berusia 24 tahun itu menjadi sebahagian daripada 26 pemain yang dipanggil Cheng Hoe untuk skuad kali ini.
Panggilan ini dilihat satu perkara yang bermakna bukan saja untuk Ruventhiran tetapi juga untuk bola sepak negeri Melaka. Ini kerana buat pertama kalinya dalam tempoh lima tahun, pasukan dari Melaka memiliki wakil dalam skuad kebangsaan.
Kali terakhir pemain Melaka mewakili Harimau Malaya ialah tahun 2021 menerusi bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. Pada ketika itu, pemain yang mesra disapa Apek itu mewakili Melaka United FC.
Kini, giliran Ruventhiran pula membawa nama Melaka dalam skuad kali ini. Selepas kembali mewarnai Liga Super dengan menyertai Melaka, bekas pemain Selangor FC itu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
Ruventhiran beraksi sebanyak 16 kali sejak tiba di Melaka pada Januari lalu. Selain membantu Melaka layak beraksi di suku akhir Piala Malaysia, beliau juga membantu Melaka mengakhiri musim di tangga ke-11.
Minit permainan yang kerap bukan saja membantu Ruventhiran mempamerkan aksi mantap di atas padang. Malah, beliau juga mampu beraksi di pelbagai posisi termasuk sayap kiri jika diperlukan oleh jurulatih Melaka, E. Elavarasan.
Kelebihan ini dijangka menjadi aset buat Cheng Hoe untuk membantu Harimau Malaya mengharungi kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup.
Selain itu, Ruventhiran juga berpeluang menambah penampilan bersama skuad negara. Semakan di Transfermarkt menunjukkan beliau merekodkan sembilan penampilan antarabangsa bersama Harimau Malaya setakat ini.