Pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mengakui gembira dengan kemajuan anak buahnya sejak kebelakangan ini.
Aksi terbaru Liga Super menyaksikan Negeri Sembilan tewas 3-2 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). Skuad Rusa mencipta kejutan dengan mendahului menerusi Mika Junco.
Terengganu menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid. Skuad Penyu kemudiannya mendahului menerusi Nnabuike Chijioke Chukwu.
Anak buah Azzmi kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi Jacque Faye. Terengganu memastikan mereka meraih tiga mata menerusi Akhyar Rashid.
Meskipun tewas, Azzmi gembira melihat peningkatan yang dipamerkan Negeri Sembilan. Beliau berharap rentak itu dapat dikekalkan apabila mereka menentang PDRM FC nanti.
“Tahniah kepada pemain saya juga kerana mereka telah mencuba yang terbaik. (Mereka tunjukkan) banyak kemajuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain, itu yang paling penting alhamdulillah. Dan harapnya lebih ke depan Insya Allah,” katanya selepas perlawanan di SSMZA.
Selepas enam perlawanan, Negeri Sembilan kekal di tangga ke-13 dengan tiga mata. Skuad Rusa bakal berentap dengan PDRM pada 11 Ogos ini.