Penyokong dan pemain Indonesia bertelagah selepas pasukan itu gagal layak ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026.
Insiden perang mulut antara pemain dan seorang penyokong Tim Garuda itu dikesan menerusi video yang dimuat naik akaun X, Secondline Squad pada 7 Ogos lalu.
Seorang penyokong Indonesia yang tidak dikenali dilihat bukan saja memarahi jurulatih pasukan itu, John Herdman. Malah, penyokong tersebut turut membidas Tim Garuda kerana gagal meraih keputusan positif dengan tuan rumah, Singapura.
Kritikan penyokong tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Indonesia, Shayne Pattynama. Hal ini mendorong staf dan pemain Indonesia menenangkan pemain Persija Jakarta itu.
Kapten Indonesia, Thom Haye berusaha menenangkan para pemain dan penyokong bagi mengelak pertikaman lidah antara kedua-dua pihak daripada terus berlanjutan.
Indonesia mengucapkan selamat tinggal kepada ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas sekadar seri 1-1 dengan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Jalan Besar.
Penyerang Lion City Sailors (LCS), Ilhan Fandi memusnahkan harapan pelawat dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-66. Gol tersebut sudah cukup buat Singapura mengiringi Vietnam ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan.