Pemain dan penyokong Ratchaburi terpaksa berlindung di bilik persalinan Stadium Gelora Bandung Lautan Api selama beberapa jam selepas aksi menentang Persib Bandung.
Ini selepas ramai penyokong pasukan Indonesia itu memilih menceroboh padang stadium tersebut.
Insiden ini berlaku tidak lama selepas tamat aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) antara kedua-dua pasukan itu.
Wartawan sukan Kompas, Firzie Idris turut berkongsi apa yang berlaku di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.
Meskipun pemain dan staf kejurulatihan Persib diketuai Bojan Hodak cuba menghalang penyokong, bilangan penyokong yang terlalu ramai memaksa mereka kembali ke bilik persalinan.
“Coach Bojan dan para pemain sudah berupaya untuk menenangkan para penyokong yang turun ke padang. Tapi terlalu banyak yang masuk sehingga akhirnya para pemain dan staf berundur ke terowong pemain,” katanya di X.
Ratchaburi kemudiannya memaklumkan barisan pemain, staf kejurulatihan dan penyokong pasukan itu selamat berada di bilik persalinan. Mereka akan meninggalkan stadium selepas keadaan kembali tenang.
Firzie kemudiannya berkongsi video konvoi bas Ratchaburi, pasukan pengadilan AFC dan pengelola pertandingan meninggalkan stadium di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan Indonesia.
Penyerang Maung Bandung, Andrew Jung menyifatkan perkara sebegini tidak akan berlaku jika penyokong dapat mengawal emosi.
Meskipun mengakui kemungkinan Persib akan dihukum atas apa yang berlaku, bekas penyerang OFI itu berharap penyokong dan Persib akan saling menyokong antara satu sama lain.
“Selepas perlawanan, emosi pada tahap tinggi dan ia merebak (sehingga penyokong menceroboh padang). Saya cuba menenangkan situasi demi melindungi kelab, pasukan dan penyokong.
“Hukuman dan aksi tanpa Bobotoh bakal memberi kesan kepada kita semua. Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kekal tabah tetapi dalam kawalan,” katanya.
Persib berpotensi dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas apa yang berlaku. Selain penyokong menceroboh padang, penyokong Persib juga dilaporkan membaling objek ke dalam padang semasa perlawanan berlangsung.
Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat Persib. Meskipun tewas, Ratchaburi mara ke suku akhir dengan keputusan agregat 3-1.