Suara Pemain Senior Ditagih Harmonikan Bilik Persalinan Harimau Malaya
Harimau Malaya
FA Malaysia
Advertisements

Khidmat pemain senior dalam barisan pemain yang dibawa oleh jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah pastinya ditagih untuk menjadi tunjang di bilik persalinan pasukan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun mengumumkan senarai 30 orang pemain yang bakal menggalas cabaran negara dalam perlawanan persahabatan di Singapura.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan untuk berhadapan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

Advertisements

Namun begitu, terdapat pelbagai reaksi yang diterima daripada barisan pemilihan kali ini apabila rata-rata netizen merasakan bahawa khidmat pemain berusia tidak lagi diperlukan dalam barisan pemilihan kali ini.

Sungguhpun terdapat muka baharu dan lama dalam senarai kali ini, namun khidmat pemain seperti Farizal Marlias, Aidil Zafuan, Khairul Azhan selain kehadiran semula bekas kapten pasukan, Safiq Rahim dilihat sebagai satu langkah yang tidak progresif buat Malaysia.

Walaupun dalam satu sidang media, Pan-gon telah pun menjelaskan bahawa pemilihan pemain kali ini tidaklah sepenuhnya berdasarkan penilaian pemain yang beraksi disebabkan kesuntukan masa dan juga minit permainan, netizen seakan mahu melihat skuad yang lebih segar pada pemilihan kali ini.

Advertisements

‘Kami telah mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.’

‘Kami tidak mungkin 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisa keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme.’

Kehadiran pemain muda berbakat dalam liga tempatan seperti Hong Wan, Hakimi Abdullah, Rahadiazli, Shahrul Nazeem dan juga Luqman Hakim selain nama seperti Akhyar Rashid juga menjadi prospek jangka masa panjang buat pasukan negara.

Advertisements

Oleh itu, kehadiran pemain senior dilihat mampu memberi tunjuk ajar dan juga motivasi terbaik kepada para pemain muda untuk kekal fokus berentap di atas padang.

Malah, khidmat pemain seperti Safiq, Aidil dan juga Farizal yang sudah sinonim dengan peranan sebagai kapten pasukan dilihat mampu untuk mewujudkan keharmonian di bilik persalinan pasukan.

Dengan prestasi semasa pasukan negara yang kurang memberangsangkan, sudah pastinya pengalaman dan peranan pemain senior diperlukan oleh pan-gon bagi memantapkan lagi persefahaman dalam kalangan rakan sepasukan.

Advertisements

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram