Pemain terkaya di dunia, Faiq Bolkiah kembali beraksi di atas padang bersama kelab Thailand, Ratchaburi.
Sebelum ini, Faiq terpaksa berehat selama setahun akibat kecederaan serius semasa menentang Police Tero dalam saingan liga musim 2023/24.
Kecederaan itu juga membuatkan ramai penyokong bimbang pemain sayap Brunei itu menimbang kemungkinan untuk menggantung but lebih awal.
Kini, selepas berusaha untuk membina kembali tahap kecergasannya, Faiq kembali beraksi buat The Dragons pada 22 Februari lalu.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu masuk sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Rayong. Faiq masuk menggantikan pemain sayap Sepanyol, Tana.
Aksi tersebut menyaksikan Ratchaburi meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Rayong. Kemenangan ini membolehkan mereka terus menghambat BG Pathum United di tangga ketiga dengan 36 mata.
Kehadiran semula Faiq bakal memberi pilihan tambahan kepada jurulatih The Dragons, Worrawoot Srimaka di bahagian sayap.
Selain Faiq dan Tana, Worrawoot memiliki pilihan untuk menurunkan Njiva Rakotoharimalala dan Phongsakorn Sangkasopha di bahagian sayap kiri.