Pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini semakin dikenali selepas pemantau bakat dari eropah mengagumi kebolehan yang dimiliki anak muda berusia 21 tahun itu.
Melalui satu ciapan twitter dari EK Scouting, Arif diberikan penilaian 8.3/10 oleh pemantau bakat tersebut. Bukan sahaja itu, kemampuan Arif juga disamakan dengan salah seorang pemain sayap dari Real Madrid, Rodrygo.
Antara kebolehan Arif yang dapat dibaca oleh EK Scouting adalah Arif mampu menggelecek dengan baik walaupun dalam ruang yang sempit. Selain itu, Arif juga dikesan gemar untuk terlibat dalam banyak gerak serangan pasukannya.
Lebih menarik, EK Scouting berjaya mengesan cara Arif membaca permainan. Apabila Arif mendapat bola di bahagian sayap, dia mendongak seketika dan melihat rakan sepasukannya yang mempunyai kedudukan yang lebih baik.
Walaupun Arif dinilai dengan markah yang agak tinggi, EK Scouting juga dapat mengesan kelemahan yang Arif hadapi. Arif dikatakan cenderung mahu memilih jalan sukar untuk melepasi halangan satu lawan satu sedangkan Arif mampu melepaskan bola secepat mungkin kepada rakan sepasukan.
Dengan perhatian yang muncul dari eropah, sudah tentu bakat Arif sentiasa diperhatikan. Sebelum ini, Arif menegaskan tidak akan berkelana ke eropah buat masa ini dan mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada JDT.