Pembantu Pengadil Dikesan Menyiku Pemain Liverpool

Andrew Robertson Liverpool Sky Sports Pembantu Pengadil Dikesan Menyiku Pemain Liverpool
Sky Sports
Azim Noor @mohdazim45
2:04am 10/04/2023

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool-Arsenal yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 penuh dengan drama. Tetapi ada satu insiden yang menarik perhatian penyokong Liverpool di Anfield iaitu insiden Andrew Robertson disiku penolong pengadil, Constantine Hatzidakis.

Semasa rehat separuh masa, pemain, staf kejurulatihan dan penyokong Reds terkejut apabila Hatzidakis menyiku Robertson. Ini mengundang rasa tidak puas hati pemain-pemain Liverpool diketuai Jordan Henderson dan mengadukan hal itu kepada pengadil Paul Tierney.

Tetapi malangnya, Robertson pula dilayangkan kad kuning oleh Tierney tanpa dinyatakan sebab ia dilayangkan. Tidak mustahil kemarahan terhadap ketidakadilan ini menjadi pembakar motivasi Liverpool untuk mengikat Arsenal 2-2.

Bagi legenda Manchester United, Roy Keane, Robertson sepatutnya lebih matang dan memberi fokus kepada aspek pertahanannya daripada merungut tentang hal tersebut.

“Robertson patut lebih bimbangkan tentang aspek pertahanannya. Hanya fokus kepada permainan. Dia yang memegang penolong pengadil terlebih dahulu,” katanya kepada Sky Sports.

Tetapi bagi seorang lagi legenda United, Gary Neville, apa yang dilakukan Hatzidakis bakal memberi kesan buruk kepada dirinya jika terbukti dia menyiku bekas pemain Hull City itu.

“Saya tak pernah melihat seorang pegawai (perlawanan) menaikkan siku terhadap pemain. Saya fikir dia (Hatzidakis) bakal berdepan masalah besar selepas perlawanan ini tamat,” katanya yang turut berperanan sebagai pengulas bersama perlawanan hari ini untuk Sky Sports.

Badan pengadil profesional (PGMOL) sudah mengumumkan bakal menyiasat insiden berkenaan. “Kami akan menyiasat perkara ini selepas perlawanan tamat,” katanya dalam satu kenyataan.