Peminat Terharu Lihat Reaksi 4 Tonggak Malaysia
MakanBola
Malaysia NT

Sebelum sepak mula aksi Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 menentang Laos di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa, tumpuan penyokong bukan sahaja terarah kepada persiapan pasukan, malah turut tertumpu kepada gelagat empat tonggak Harimau Malaya.

Empat pemain yang dimaksudkan ialah Mohamadou Sumareh, Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Sergio Aguero. Keempat-empat mereka mencuri perhatian apabila menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku dengan penuh semangat.

Walaupun keempat-empat pemain itu merupakan pemain naturalisasi, komitmen yang ditunjukkan ketika lagu kebangsaan berkumandang dianggap cukup menyentuh hati. Mereka bukan sekadar berdiri di atas padang, malah jelas menghayati setiap bait lirik sambil menunjukkan rasa bangga mewakili Harimau Malaya.

“Bangga dengan mereka, bukan warganegara (pada awalnya) tapi hafal dan boleh menyanyikan lagu Negaraku,” komen seorang peminat di ruangan komen Facebook Asean United FC.

Sebelum ini, tindakan segelintir pemain naturalisasi dan warisan yang tidak menyanyikan lagu Negaraku sebelum perlawanan pernah menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong. Isu itu juga pernah diajukan kepada pemain warisan Harimau Malaya, Junior Eldstal.

“Macam mana kau tahu dia tak boleh nyanyi (Negaraku)? Itu dalam TV, tapi mungkin suaranya sakit ke apa,” seloroh Junior Eldstal kepada MakanBola.

Tindakan Mohamadou Sumareh, Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Sergio Aguero menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dengan penuh penghayatan sebelum aksi menentang Laos nyata meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong.

Menghayati lagu kebangsaan bukan sahaja melambangkan kebanggaan mewakili negara, malah menjadi pembakar semangat buat setiap pemain sebelum turun berjuang mempertahankan maruah Harimau Malaya.