Kelab gergasi La Liga, Barcelona terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24, Man City dalam aksi persahabatan pra-musim.
Memandangkan ini perlawanan pra-musim, kedua-dua pasukan memilih bereksperimen dengan menurunkan gabungan pemain muda dan berpengalaman.
Clement Lenglet mengetuai cabaran Barca. Sementara penjaga gol berpengalaman dari Brazil, Ederson mengetuai cabaran The Citizens.
Perlawanan yang berlangsung di Orlando, Amerika Syarikat ini sepatutnya berlangsung pada jam 7.30 pagi waktu Malaysia. Walau bagaimanapun, cuaca buruk memaksa perlawanan ditangguhkan selama sejam.
Sebaik perlawanan dimulakan, City berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi penjaring terbanyak mereka pada musim lepas, Erling Haaland.
Penyerang berbisa Norway itu hampir meletakkan The Citizens di hadapan pada minit ke-11 tetapi percubaannya terkena tiang. Meskipun bola dikatakan telah melintasi garisan gol Barca, bola pantas disambar penjaga gol, Inaki Pena.
Barca mendahului pada minit ke-24 menerusi Pau Victor, Selepas bertukar-tukar hantaran, Victor melepaskan rembatan yang menewaskan Ederson.
Tersentak, City berusaha mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Nico O’Reilly menyamakan kedudukan pada minit ke-40 selepas menerima hantaran Josko Gvardiol.
Barca yang dibimbing bekas pengendali Jerman, Hansi Flick memastikan mereka mendahului 2-1 sehingga rehat. Ini selepas Pablo Torre meledakkan gol kedua pada minit ke-46.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran pemain untuk memberi ruang kepada pemain lain beraksi.
Jack Grealish berjaya menggelecek beberapa pemain Barcelona sebelum melakukan percubaan ke arah gol pada minit ke-49. Malangnya, percubaan beliau tidak menepati sasaran.
Grealish berjaya menebus kehampaan apabila meledakkan gol penyamaan pada minit ke-59. Selepas menerima hantaran daripada Mateo Kovacic, pemain sayap England itu melepaskan sepakan lencong yang menewaskan Pena.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi tidak berhasil. Robert Lewandowski hampir menjaringkan gol kemenangan buat Barca pada minit ke-90 tetapi percubaannya disekat pertahanan The Citizens.
Dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas 90 minit perlawanan, pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Barca akhirnya meraih kemenangan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti. Ini selepas City gagal menjaringkan dua penalti awal menerusi Kalvin Phillips dan Jacob Wright.
Selepas ini, City akan menentang Chelsea dalam satu lagi aksi persahabatan di Columbus pada 3 Ogos. Sementara Barca akan menentang Real Madrid pada hari sama.