Penampilan meyakinkan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani ketika menentang Kyrgyzstan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari nyata disenangi penyokong dan juga pemerhati bola sepak negara.
Ketenangan dan penyelamatan yang dilakukan Azri beberapa kali menyelamatkan gawang gol skuad kebangsaan daripada dibolosi.
Bagi pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, Azri merupakan salah seorang pemain yang beraksi dalam perlawanan tersebut selain pemain tengah, Nooa Laine.
“Satu kepujian kepada Kim Pan-gon, bukan mudah kehilangan pemain utama dalam momentum yang mengejutkan.
“Saya rasa ini pertama kali berlaku dalam pemilihan dia kehilangan pemain utama, saya juga berfikir cara dan bagaimana dia akan membawa pemain dengan keadaan sedia ada.
“Lebih berkesan adalah Azri Ghani dan Nooa laine yang bermain dengan baik.” jelas Asmawi seperti dilaporkan Stadium Astro.
Malaysia kini masih menghuni tangga ketiga Kumpulan D kelayakan dengan mengumpul 7 mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Malaysia perlu memenangi aksi terakhir kelayakan menentang Chinese Taipei pada 11 Jun dengan satu jumlah jaringan yang besar sekali gus menafikan slot Kyrgyzstan ke pusingan seterusnya.