Walaupun baru berusia 21 tahun, namun ianya bukanlah alasan untuk pemain Penang FC, Alif Ikmalrizal membuktikan bahawa beliau mempunyai ciri-ciri seorang penyerang berbisa.
Khidmat Alif kini kerap kali digunakan oleh jurulatih Penang, Manzoor Azwira Abdul Wahid bagi mengharungi perlawanan Liga Super. Dalam masa yang sama, Alif juga masih menjadi pemain utama buat Penang FC dalam saingan Piala MFL di bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Bagi saingan Liga Super musim ini, Alif telah diturunkan sebanyak 8 kali dan beliau berjaya membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan sudah meledak 2 gol setakat ini. Dua gol yang dijaringkan itu adalah satu ketika menentang Kelantan FC dan juga satu lagi pada aksi menentang Sabah FC tempoh hari.
Manakala bagi saingan Piala MFL, Alif berjaya meledak 3 gol buat Penang FC. Selain menjaringkan gol dalam saingan Liga Super dan Piala MFL, nama Alif juga kerap kali tersenarai dalam penjaring gol buat Penang FC pada aksi persahabatan.
Jadi ianya bukanlah sesuatu yang pelik apabila Manzoor memberi kepercayaan pemain muda itu menggalas tugas sebagai penyerang dalam saingan Liga Super.
Penang akan berhadapan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Malaysia pada 3 Ogos sebelum bertandang ke Stadium Ipoh bagi menghadapi Perak FC pada 9 Ogos untuk saingan Liga Super.