Penang FC bakal menyertai Sri Semantan Cup sebagai persediaan menghadapi musim 2026/27.
Kejohanan pramusim ini akan diadakan dari 24 hingga 26 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu, Kelantan.
Selain Penang, turut mengambil bahagian ialah tuan rumah dan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kelantan City FC. Dua lagi pasukan ialah Kedah FA dan Perak FA.
Kejohanan pemanas badan ini memberi peluang kepada Wan Rohaimi Wan Ismail membentuk satu pasukan yang mantap sebelum musim 2026/27 bermula.
Saingan Sri Semantan Cup turut membuka ruang kepada semua pasukan yang bertanding memperkenalkan barisan pemain baharu masing-masing.
Misalnya, Penang bakal menampilkan ramai muka baharu seperti bekas pemain pertahanan Selangor FC, Fazly Mazlan, bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan penyerang baharu Uzbekistan, Murodbek Bobojonov.
Kelantan City pula mengetengahkan bekas pemain sayap Negeri Sembilan FC, Hadin Azman dan pemain berdarah Malaysia-Mesir, Amir Abada. Harry Danish Mohd Haizon dan Nasir Basharudin pula antara pemain baharu Perak.
Penang akan membuka kempen kejohanan dengan menentang Kelantan City pada 24 Julai. Ini disusuli aksi menentang Perak dan Kedah masing-masing pada 25 dan 26 Julai.