Penang FC bakal beraksi menentang Sri Pahang FC tanpa kelibat kapten mereka dari Brazil, Rafael Vitor.
Perkara ini disahkan sendiri oleh pengendali Sang Harimau Kumbang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Vitor terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan dalam aksi menentang KL City FC pada 29 September lalu.
Akmal mengakui ketiadaan bek tengah berusia 31 tahun itu bakal merumitkan perancangannya dalam menghadapi tentangan Tok Gajah di Stadium Bandaraya.
Pada masa sama, beliau percaya mana-mana pemain yang dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vitor mampu beraksi dengan baik.
“Ya, memang amat dirasai selepas Rafael Vitor tidak dapat beraksi esok setelah mengalami kecederaan dalam perlawanan terakhir menentang KL City. Beliau seorang pemain yang penting di bahagian pertahanan dan juga seorang kapten yang memberi motivasi yang terbaik kepada pasukan.
“Tapi ketiadaan beliau sudah pasti akan dirasai. Kita sudah pasti ada perancangan tentang siapa yang bakal menggantikan Vitor malam besok.
“Dan saya pasti pemain yang diberi peranan Rafael Vitor perlu (beraksi) sebaik mungkin. Beliau juga berhak berada dalam kesebelasan utama,” katanya kepada Nadi Bola.
Akmal percaya pertahanan yang mantap sebagai kunci buat Penang jika ingin meraih kemenangan di Stadium Bandaraya.
Atas sebab itu, beliau mahu barisan Penang sentiasa berwaspada dengan ancaman Sri Pahang terutama dua tonggak import mereka, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo.
“Dan saya harap benteng pertahanan kita pada hari esok dan memberikan aksi terbaik untuk mengekang serangan daripada Sri Pahang.
“Kita tahu Kpah Sherman, (Manuel) Hidalgo antara pemain yang perlu diberi perhatian serius. Merekalah yang akan menjadi duri dalam daging dalam pertahanan kita apabila Sri Pahang melakukan serangan,” ujarnya.
Sang Harimau Kumbang bakal berentap dengan Tok Gajah di Stadium Bandaraya pada 20 Oktober ini.