Penang menerima tonik tambahan apabila bakal menempuh 3 aksi pada bulan Januari ini di gelanggang sendiri, Stadium Bandaraya.
Anak didik Wan Rohaimi ini baru sahaja selesai mengharungi aksi suku akhir MFL Challenge Cup yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang ini menyingkirkan PT Athletics keputusan agregat 6-0.
Kemenangan besar ini menyaksikan jadual Penang bagi bulan Januari bakal bertambah padat dengan aksi Liga Super yang turut berlangsung bersama saingan MFL Challenge Cup itu nanti.
Walau bagaimanapun, Penang tidak perlu bersusah-payah bertandang ke laman lawan apabila bakal menempuh 3 aksi di bulan Januari di hadapan penyokong sendiri di Stadium Bandaraya.
Penang dijadualkan melayani kunjungan Perak dalam satu perlawanan hangat derbi utara di Stadium Bandaraya pada 12 Januari hadapan bagi saingan Liga Super minggu ke-18.
7 hari kemudian, Penang bakal turun menerima kedatangan Selangor dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup dengan berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri.
Selangor sekali lagi bakal menjadi lawan pasukan bimbingan Wan Rohaimi ini dengan pertembungan kali ini membabitkan aksi Liga Super minggu ke-19 pada 25 Januari juga di laman sendiri.
Walaupun dengan jadual padat dalam tempoh dua minggu ini, namun kehadiran dan sokongan padu peminat di Stadium Bandaraya nanti bakal menjadi satu tonik tambahan buat pasukan Penang.
Penang kini menduduki tangga ke-11 carta Liga Super dengan 14 mata selepas 16 perlawanan hasil 3 kemenangan, 5 keputusan seri dan 8 kekalahan.