Dengan tetingkap perpindahan kedua bakal dibuka bulan hadapan, pasukan-pasukan Liga Super mula mengenalpasti pemain mana yang patut dikekalkan. Selepas Sabah, Penang pula memilih mengucapkan selamat tinggal kepada dua pemain import mereka iaitu Curt Dizon dan Ahn Sae-hee.
Keputusan tersebut diumumkan Penang FC menerusi hantaran di laman media sosial rasmi pasukan semalam. Malah, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut menyatakan perkara sama di akaun Twitternya.
Harimau Kumbang memilih untuk melepaskan kedua-duanya kerana Dizon dan Sae-hee tidak dapat bersaing dengan pemain-pemain lain merebut kesebelasan utama. Ini ditambah dengan kecemerlangan tenaga import lain seperti Sonny Saad dan kapten Rafael Vitor setiap kali beraksi di atas padang.
Dengan melepaskan Dizon dan Sae-hee, ini membolehkan duo berkenaan mencari kelab baru untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain bola sepak. Dengan perginya duo tersebut, Penang kini menggunakan khidmat Sonny, Vitor, Giovane Gomes, Adriano Narcizo, Ousmane Fane dan Ryu Yamaguchi sebagai tenaga import untuk baki musim 2023.
Duo tersebut berkemungkinan bakal disertai Sonny sekiranya khabar angin perpindahan yang timbul beberapa minggu lepas menjadi kenyataan. Difahamkan beberapa kelab besar Liga Super mengintai khidmat penyerang Lubnan itu bagi memperkuat jentera serangan mereka.