Pendapat Peguam Tentang Isu Pasport Pemain Indonesia
MakanBola
Go Ahead Eagles

Seorang peguam sukan antarabangsa berpandangan isu pasport pemain warisan Indonesia bakal memberi kesan besar kepada saingan liga Belanda.

Peguam sukan, Israel Adedeji-Ajoje membuat pandangan itu apabila mengulas isu pasport pemain Indonesia yang dirujuk kelab NAC Breda ke mahkamah Belanda.

Adedeji-Ajoje melihat isu ini dengan melihat undang-undang Belanda berhubung status kerakyatan terlebih dahulu.

“Undang-undang Belanda secara jelas tidak membenarkan individu memegang dua kerakyatan dengan negara bukan Kesatuan Eropah (EU) seperti Indonesia dan Surinam.

“Justeru, jika ada pemain yang memilih mewakili negara-negara ini di peringkat antarabangsa, mereka akan menerima pasport baru dan secara automatik kehilangan pasport Belanda.

“Apabila seseorang pemain kehilangan pasport Belanda, mereka akan menjadi warga bukan EU. Justeru, mereka memerlukan permit untuk berlatih dan bermain dalam liga Belanda,” katanya di X.

Adedeji-Ajoje percaya isu ini berlaku apabila kelab-kelab yang merekrut pemain-pemain ini gagal mendapat permit kerja mengikut lunas undang-undang Belanda.

Ada juga yang tidak tahu permit kerja menjadi keperluan apabila pemain memilih mewakili negara lain seperti Indonesia, Surinam dan Curacao. Isu ini menyebabkan sesetengah pemain beraksi tanpa menyedari kelab-kelab tidak mempunyai kebenaran undang-undang untuk melakukannya.

Adedeji-Ajoje melihat ini menjadi teras kes NAC Breda apabila membawa isu itu ke mahkamah di Utrecht. Selepas tewas 6-0 di tangan Go Ahead Eagles pada Mac lalu, kelab itu mendapati pemain pertahanan Indonesia, Dean James beraksi tanpa permit kerja yang sepatutnya.

Justeru, keputusan mahkamah pada 4 Mei ini dijangka memberi kesan besar kepada liga Belanda. Ini kerana Adedeji-Ajoje melihat ia akan memberi kesan kepada banyak perkara dari perebutan gelaran juara hinggalah penyingkiran.

Ini kerana terdapat 133 perlawanan Eredivisie yang membabitkan 11 pemain sebegini untuk musim 2025/26.

“Kelab-kelab yang tewas dalam mana-mana perlawanan tersebut kini akan mempunyai kedudukan undang-undang serta-merta untuk mengikuti jejak langkah NAC.

“Penyingkiran, perebutan slot di Eropah, perebutan gelaran juara, semuanya tiba-tiba akan menjadi tidak stabil. Malah, skandal yang lebih besar ialah kegagalan peraturan.

“Usaha Indonesia merekrut pemain kelahiran Belanda jelas kelihatan selama bertahun-tahun dengan 15 pemain kelahiran Belanda dalam skuad terakhir mereka sahaja,” katanya.

Adedeji-Ajoje turut memaklumkan bahawa pemain-pemain ini tidak bersalah. Ini kerana mereka membuat keputusan tentang mewakili pasukan antarabangsa mengikut peraturan tanpa mengetahui terjebak dalam potensi krisis terbesar yang membelenggu arena bola sepak Belanda.

Justeru, keputusan mahkamah pada 4 Mei ini bakal menjadi fokus semua pemain industri bola sepak Belanda termasuk Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB).