Kejohanan UEFA Europa Conference League (UECL) semakin menjadi bualan hangat para peminat bola sepak terutamanya penyokong Chelsea FC namun masih ramai tertanya-tanya apakah itu kejohanan UECL?
UEFA Europa Conference League atau UECL merupakan kejohanan yang dianjurkan oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) setiap tahun bermula musim 2021/2022 melibatkan sebanyak 140 kelab di sekitar Eropah dari pusingan kelayakan awal.
Kejohanan ini adalah peringkat ketiga bola sepak kelab benua di Eropah, di belakang Liga Europa yang merupakan peringkat kedua dan Liga Juara-Juara di peringkat pertama.
Menurut Presiden UEFA, Aleksander Čeferin, dengan penganjuran UECL ini, saingan kelab di Eropah akan menjadi lebih kompetitif apabila lebih banyak kelab dan persatuan yang diwakili bertanding untuk menjadi juara.
“UECL yang baharu ini menjadikan pertandingan kelab UEFA lebih inklusif berbanding sebelum ini. Akan ada lebih banyak perlawanan untuk lebih banyak kelab, dengan lebih banyak persatuan diwakili dalam peringkat kumpulan,” ujar Aleksander Čeferin, ketika UECL dilancarkan pada 2018.
Format kejohanan menampilkan tiga peringkat pusingan kelayakan yang perlu ditempuh dan pemenang akan mara ke saingan play-off sebelum melayakkan diri ke peringkat kumpulan di mana 32 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.
Setiap juara kumpulan akan lolos ke pusingan kalah mati bersama naib juara yang perlu berdepan pasukan yang berada di tempat ketiga kumpulan dalam saingan Liga Europa dan format seterusnya kekal sama seperti kejohanan lain sehingga final.
Juara sulung bagi kejohanan ini merupakan wakil Itali, AS Roma yang menundukkan Feyenoord di perlawanan akhir manakala bagi musim kedua, gelaran juara disandang oleh kelab England, West Ham United setelah menumbangkan Fiorentina.
Saingan UECL musim ini hampir melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir pada 30 Mei akan menyaksikan pertemuan di antara Olympiacos dan Fiorentina bagi merebut gelaran takhta juara bagi musim ketiga kejohanan ini.
Bagi musim hadapan, saingan UECL bakal diserikan dengan kehadiran pasukan gergasi dari England yang merupakan bekas juara dua kali Liga Juara-Juara Eropah iaitu Chelsea FC yang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat keenam.