Pengadil Malaysia Terpilih Ke Hoki Piala Dunia
UltraSukan
MHC

Pengadil hoki Malaysia, Anbananthan Rawi sekali terpilih ke Piala Dunia Hoki 2026 di Belgium dan Belanda.

Pemilihan beliau diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

Pemilihan Anbananthan dilihat mengesahkan statusnya sebagai sebahagian daripada kelompok pengadil hoki dunia bertaraf elit.

Ini juga satu pengiktirafan buat Malaysia disebabkan prestij Piala Dunia Hoki yang berlangsung selang empat tahun. Pengadil yang terpilih pula dinilai menerusi prestasi mereka dalam tempoh sama.

Anbananthan menyifatkan pemilihan ini bukan saja satu detik bermakna dalam kariernya sebagai pengadil antarabangsa.

Malah, ia juga satu amanah besar buat beliau kerana membawa nama Malaysia dalam arena hoki antarabangsa.

“Saya berasa sangat bertuah dan bangga dapat mewakili Malaysia di Piala Dunia,” katanya.

“Ini adalah kali kedua saya dilantik sebagai umpire dan saya juga satu-satunya pengadil dari Malaysia yang terpilih.”

Selain Piala Dunia, Anbananthan juga pernah menjadi pengadil untuk Sultan Azlan Shah Cup (SASC), Sukan Komanwel 2018, pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 dan Piala Hero Asia 2025.

Beliau juga pernah menerima anugerah Golden Whistle selepas mengadili 100 perlawanan hoki antarabangsa.