Pengadil Mohon Maaf Bagi Kemenangan Percuma Kepada Manchester United
MakanBola
Manchester United

Badan Pegawai Perlawanan Rasmi Profesional (PGMO) memohon maaf kepada Nottingham Forest selepas memberi gol percuma kepada Manchester United.

BBC Sport melaporkan gol yang dimaksudkan ialah gol Matheus Cunha pada separuh masa kedua. Gol itu terhasil apabila bola terkena tangan Bryan Mbeumo sebelum dihantar kepada Cunha.

Meskipun pegawai VAR meminta insiden itu disemak di monitor, pengadil Michael Salisbury tetap mengesahkan jaringan Cunha. Ini membolehkan United meraih kemenangan 3-2 di Old Trafford.

Pemain tengah Forest, Morgan Gibbs-White memaklumkan gol tersebut sepatutnya dibatalkan memandangkan bola sudah terkena tangan Mbeumo terlebih dahulu.

“Dari sudut tempat saya berdiri, ia kelihatan seperti bola terkena tangannya (Mbeumo). Tidak kira beliau menjaringkan gol atau tidak, itu tidak sepatutnya dikira,” katanya selepas perlawanan.

Ketua PGMO, Howard Webb memaklumkan keputusan yang lebih baik berhubung insiden itu ialah gol tersebut dibatalkan atas kesalahan bola terkena tangan.

Pandangan Webb turut dipersetujui bekas penolong pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Darren Cann. Ini kerana bola berada dalam kawalan Mbeumo meskipun terkena tangannya.

“Saya percaya jangkaan di sini ialah Mbeumo mengawal bola, terutamanya apabila ia membawa gol sekaligus mengatasi kemungkinan bola terkena pehanya.

“Mbeumo mengawal bola (dengan tangannya) dan walaupun beliau bukan penjaring gol, jangkaan di sini ialah gol tersebut dibatalkan,” ujarnya.

Insiden ini meningkatkan lagi gesaan dalam kalangan pemain, jurulatih dan penganalisis bola sepak yang mahu kesalahan membabitkan bola terkena tangan disemak semula.

Cann berpandangan sudah tiba masanya aspek undang-undang bola sepak tersebut disemak semula. Ini kerana undang-undang membabitkan kesalahan bola terkena tangan disifatkan terlalu rumit dan mengelirukan.