Kehebatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sememangnya telah membuka mata banyak pihak bahawa pemain tempatan Malaysia juga mampu menyinar di pentas tertinggi asia.
Namun begitu, kehebatan Arif Aiman di pentas asia bukanlah tiket untuk beliau berkelana jauh ke eropah bagi mengembangkan karier. Salah seorang penganalisis data bola sepak, Ben Griffis yakin bahawa Arif masih belum bersedia untuk ke eropah.
Sedar akan kualiti dimiliki Arif yang dianggap luar biasa, Griffis berpendapat adalah lebih baik bagi Arif mengembangkan karier bola sepaknya di negara Jepun atau Korea Selatan terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk ke benua eropah.
“Jangan fikir dia sudah bersedia, namun dia kelihatan luar biasa. Saya merasakan dia sudah pasti bersedia untuk liga Jepun atau Korea yang akan menjadi cabaran lebih baik buat beliau.
“Walaupun serupa dengan kebanyakan liga eropah, mungkin lebih mudah untuk menyesuaikan diri daripada tergesa-gesa untuk ke eropah,” coret Griffis di laman X.
Dalam masa yang sama, Griffis menjangkakan Arif akan lebih bersedia dalam tempoh 2 tahun untuk sekurang-kurangnya berkelana ke Belgium atau di negara skandinavia seperti Denmark, Sweeden, Finland atau Norway.
Arif Aiman melalui musim 2023 dengan agak baik apabila sehingga setakat ini, beliau sudah menjaringkan 15 gol untuk JDT dalam kesemua pertandingan yang melibatkan pasukan gergasi Malaysia itu. Selain 15 gol untuk kelab, Arif juga sudah meledak lima jaringan bersama skuad kebangsaan.