Pengulas bola sepak dari Mesir, Issam El-Hadary meramal skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia bakal terima nasib yang sama di pentas Piala Asia 2023.
Menerusi satu rancangan yang dimuat naik AlKass TV Sports, Issam yang juga merupakan bekas penjaga gol kebangsaan Mesir itu menjangkakan Jepun akan menjadi juara Piala Asia bagi edisi kali ini.
Jepun dan Korea Selatan akan berentap di perlawanan final dalam pemburuan takhta juara Piala Asia 2023.
Dalam ramalan tersebut, langkah Malaysia dan Indonesia akan terhenti di saingan peringkat kumpulan apabila Issam meramal Korea Selatan dan Jordan menjadi dua wakil dari Kumpulan E yang layak ke peringkat seterusnya.
Sementara dalam saingan Kumpulan D, Jepun dan Iraq akan layak ke pusingan kalah mati sebagai juara dan naib juara kumpulan. Bagi Issam, Malaysia dan Bahrain serta Indonesia dan Vietnam sekadar menamatkan kempen di saingan peringkat kumpulan.
Biarpun Malaysia dan Indonesia hadir pada edisi kali ini sebagai bukan pasukan pilihan, namun dua jaguh dari Asia Tenggara ini masih miliki peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar.
Pentas Piala Asia ini menjadi medan terbaik untuk Malaysia dan Indonesia memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi dari Asia. Malaysia bakal beraksi dalam aksi pertama berdepan Jordan pada 16 Januari sementara Indonesia akan menentang Iraq pada 15 Januari kelak.