Pengurusan Terengganu FC berpeluang mengadakan lawatan kerja ke kelab juara Thai League 1 musim 2022-2023, Buriram United baru-baru ini.
Lawatan kerja ini bukan saja bertujuan membina perhubungan di antara kedua-dua kelab. Malah, Buriram dan Terengganu dapat membincangkan kerjasama yang dilihat bakal memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.
Delegasi skuad Peteh diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Sabri Abas berpeluang melihat aspek pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang digerakkan Thunder Castle.
Selain itu, delegasi Terengganu juga dibawa meninjau kemudahan yang dimiliki kelab itu termasuk stadium keramat Buriram, Chang Arena.
“Pihak Terengganu FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pihak Buriram United FC atas segala kemudahan dan layanan yang telah diberikan kepada pihak Terengganu FC sepanjang berada di sana,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ini bukan kali pertama lawatan kerja ini diadakan Terengganu. Pada penghujung tahun lepas, delegasi Peteh mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pertemuan tersebut diadakan bagi menimba pengalaman dan pengetahuan berkenaan soal kelab bola sepak yang dikongsikan oleh baginda.