Pasukan Liga Super, Terengganu dan Selangor berpeluang untuk melangkah ke musim baharu dengan penuh bergaya selepas menerima wang agihan kira-kira RM2.9 Juta.
Skuad Peteh mempamerkan persembahan yang cukup memukau untuk membawa cabaran Malaysia di pentas Piala AFC 2023 tanpa mencatatkan sebarang kekalahan.
Anak didik Tan Cheng Hoe pula merekodkan perjalanan penuh warna-warni sebelum menamatkan saingan selaku naib juara Liga Super sekaligus memperoleh slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kejayaan itu melayakkan pasukan gergasi Pantai Timur itu menerima wang agihan yang disediakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menerusi satu kenyataan oleh MFL, kedudukan ini membolehkan Terengganu dan Kedah meraih wang ganjaran yang cukup besar selari dengan konsistensi yang ditampilkan dalam liga.
“Bagi tahun 2023, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga Liga.”
MFL percaya pengagihan mengikut merit ini adalah langkah yang jelas bagi mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam Liga mempunyai nilai ganjaran.”
Agihan musim ini juga membolehkan enam kelab terbaik dalam liga peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta.
Pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.
Berdasarkan jadual sistem pengagihan yang dikeluarkan oleh MFL, Terengganu bakal memperoleh agihan rata RM500 Ribu dan agihan merit sebanyak RM500 Ribu selaku tempat ke-6 Liga Super dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM1 Juta.
The Red Giants pula memperoleh wang agihan RM500 Ribu dan agihan merit sebanyak RM1.4 Juta yang membawa kepada jumlah keseluruhan RM1.9 Juta.
Perjalanan kedua-dua pasukan dijangka rancak untuk melangkah ke musim baharu dengan beberapa pemain utama dijangka membawa haluan baharu.