Penjaga gol baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Christian Abad Amat berkemungkinan bakal mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Pemain berketinggian 194 sentimeter itu dilaporkan pemain warisan Malaysia berdarah Sepanyol. Ianya disahkan oleh pemerhati bebas bola sepak Malaysia, Juan Budiman dalam satu ciapan di laman X.
“Selepas Natxo & Kiko Insa, jentera pertahanan JDT bakal diperkuatkan dengan seorang lagi pemain warisan berdarah Sepanyol. Difahamkan penjaga gol muda ini adalah seorang pemegang pasport Malaysia dan sudah mendarat di selatan tanahair,” umum Juan Budiman di laman X.
Manakala dalam satu perkongsian terkini Juan Budiman, beliau mengesahkan penjaga gol berusia 18 tahun itu memiliki kerakyatan Malaysia. Dan ini sekali gus membolehkan Christian Abad menyarung jersi kebangsaan.
Kehadiran Christian Abad sudah pasti akan mendatangkan persaingan sihat buat tiga lagi penjaga gol skuad utama JDT iaitu Syihan Hazmi, Izham Tarmizi dan Farizal Marlias.
Buat masa ini, Syihan Hazmi masih kekal menjadi tonggak utama JDT di posisi penjaga gol selain turut menjadi penjaga gol utama buat skuad kebangsaan.