Penjaga Gol Ini Bakal Dijual RM120 Juta Walaupun Gagal Tembusi Skuad Guardiola

James Trafford Penjaga Gol Ini Bakal Dijual RM120 Juta Walaupun Gagal Tembusi Skuad Guardiola
esteemedkompany
Nabil Fahmi @nabilfamy
4:31pm 11/07/2023

Penjaga gol Manchester City, James Trafford dijangka akan dijual kepada kelab lain dengan tanda harga yang ditetapkan adalah RM120 juta. Ianya mungkin agak aneh kerana Trafford masih belum beraksi bersama skuad utama Manchester City kendalian Pep Guardiola.

Namun Trafford berjaya menutup pengkritik dengan aksi membanggakan dalam Kejohanan EURO Bawah 21 Tahun yang mana menyaksikan England berjaya muncul sebagai juara. Lebih manis lagi, Trafford tidak dibolosi sebarang gol sepanjang kejohanan.

Kecemerlangan Trafford itu membuktikan bahawa beliau merupakan harapan pasukan kebangsaan England pada masa akan datang. Antara pasukan yang memantau rapat perkembangan Trafford adalah Burnley.

Burnley yang baru dinaikkan semula ke Liga Perdana Inggeris dikatakan sudah bersedia membawa masuk Trafford dengan harga yang diminta Manchester City. Burnley juga bakal memulakan aksi liga dengan perlawanan menentang City.

Trafford menghabiskan musim lalu secara pinjaman dalam saingan League One bersama Bolton Wanderers dan mereka mara ke play-off. Baru-baru ini Trafford mengakui sudah bersedia untuk bermain di pentas yang lebih besar.