Penjaga gol Palestin, Rami Hamada bersifat terbuka untuk mendengar mana-mana tawaran yang datang dari kelab di Liga Malaysia.
Rami yang ditemui ketika sidang media pra perlawanan Palestin dan Jordan berkata, beliau sudah lama tidak beraksi bersama kelab semenjak krisis yang berlaku di tanah airnya.
”Jadi, Rami berkata, dia tidak bermain untuk mana-mana pasukan kelab sejak November tahun lalu dengan apa yang berlaku di Palestin,” kata penterjemah yang mewakili Rami.
Tambahnya lagi, sejak bergelar ejen bebas, Rami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan berlatih di bandar beliau dan bekerja keras membawa nama Palestin di peringkat benua.
“Dia bertanggungjawab untuk aksi kelayakan ini dan dia berlatih bersungguh-sungguh di bandarnya di Palestin,” ujar penjaga gol berusia 30 tahun itu.
Rami yang tampil cemerlang membantu Palestin mengikat Korea Selatan minggu lalu menyatakan rasa gembiranya sekiranya terdapat tawaran dari kelab yang beraksi di Liga Malaysia.
”Dan sekiranya terdapat sebarang tawaran dari mana-mana pasukan di Malaysia, dia berasa sangat gembira,” kata penterjemah tersebut kepada pihak media.
Berdasarkan maklumat di Transfermarket, kelab terakhir Rami merupakan Jabal Al-Mokabber Al-Maqdisi sebelum beliau dilepaskan sebagai ejen bebas pada awal Julai lalu.
Bagi musim 2023/2024, Rami hanya beraksi sebanyak dua kali bersama bekas pasukannya itu sebelum pihak kelab mengumumkan penundaan bagi segala aktiviti dek situasi semasa di Palestin.
Kini, Rami dan rakan sepasukan di Palestin bakal berdepan Jordan dalam aksi kedua peringkat kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 10 September di Stadium Cheras.