Penjaga gol warisan berdarah Johor ditemui beraksi tangkas di England.
Menerusi satu perkongsian oleh laman Frfuturetalents, pemain yang dimaksudkan itu ialah penjaga gol Exeter City FC iaitu Harry Lee.
Pemain berusia 19 tahun itu dilaporkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia sungguhpun dilahirkan di Torbay, England.
Beliau memiliki sosok tubuh yang begitu baik apabila difahamkan berketinggian 1.90 meter sekaligus memberikan kelebihan sebagai penjaga gawang.
Harry kini beraksi dalam skuad utama Exeter City di EFL League One di England setelah beberapa musim dipinjamkan ke kelab lain seperti Dorchester, Plymouth Parkway dan juga Salisbury.
Beliau difahamkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi bapanya susulan datuknya berasal daripada Johor Bharu.
Pada musim ini, Harry Lee telah beraksi 15 perlawanan di National League South dan bolos 23 gol serta merekodkan 5 aksi tanpa bolos.
Setakat ini, tiada mana-mana pengesahan rasmi mengenai status warisan pemain ini dengan kontraknya bakal berakhir 30 Jun 2024.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat pemain warisan yang benar-benar berkualiti untuk mewakili negara.