Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mendedahkan pasukan Pantai Timur itu kini mengintai khidmat seorang peledak gol dari Croatia.
Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 menyaksikan skuad Peteh meledakkan 19 gol. Penjaring terbanyak Terengganu ketika ini ialah Safawi Rasid dan Ismaheel Akinade yang berkongsi empat gol.
Meskipun begitu, pasukan itu merindui penjaring terbanyak mereka pada musim 2023 iaitu Ivan Mamut. Penyerang berusia 27 tahun itu sebelum ini disisihkan selepas mengalami kecederaan semasa kempen pra-musim.
Walaupun Mamut sudah kembali menyertai skuad Peteh, Steinbruckner tidak pasti bila bekas penyerang Inter Zapresic itu akan kembali beraksi di atas padang.
Atas sebab itu, jurulatih berusia 57 tahun itu memberi bayangan Terengganu bakal mencari seorang penyerang baru sebagai sokongan kepada Akinade.
Perkara ini kemudiannya disahkan Steinbruckner dalam sidang media pasca-perlawanan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Terengganu baru-baru ini.
Jurulatih itu mendedahkan Terengganu kini mengintai khidmat seorang penyerang Croatia menjelang tetingkap perpindahan kedua liga pada bulan hadapan.
“Ya, kita ada melihat beberapa pemain dalam radar kita. Saya pasti kita akan membawa seorang penyerang (baru).
“Sudah tentu saya tak nak bercakap tentangnya kerana ini terlalu awal. Tetapi saya ada seorang penyerang Croatia yang memiliki ciri sama seperti Ivan (Mamut). Tapi kita akan lihat,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Sekiranya perkara itu berlaku, pemain berkenaan bakal menjadi pemain import terbaru skuad Peteh dalam liga. Hal ini juga dijangka menimbulkan persoalan tentang masa depan Mamut bersama pasukan itu.