Kelibat penyerang Hungary, Martin Adam dalam kempen Euro 2024 ketika ini telah mencuri tumpuan para peminat bola sepak Eropah.
Martin Adam masuk selaku pemain gantian pada minit ke-79 menggantikan Milos Kerkez dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan 1-3 Hungary kepada Switzerland dalam perlawanan pertama kumpulan A.
Namun sosok tubuh dan wajah pemain itu mengundang komen daripada netizen yang menonton perlawanan tersebut yang menyifatkan Martin Adam tidak mempunyai sosok tubuh seperti kebiasaan penyerang.
Martin Adam mempunyai fizikal yang besar serta wajah yang kasar sekaligus berjaya menarik perhatian penyokong serta penonton perlawanan tersebut.
Namun penyerang itu sebenarnya memiliki rekod hebat di peringkat kelab apabila pernah bergelar penjaring terbanyak liga utama Hungary bersama pasukan Nemzeti Bajnoksag dengan jumlah 31 gol pada musim 2021/2022.
Martin Adam meneruskan pencapaian hebatnya ketika menyertai Ulsan Hyundai apabila membantu kelab tersebut memenangi kejuaraan liga Korea Selatan dua kali berturut-turut untuk musim 2021/2022 dan 2022/2023.
Musim lalu Adam menyumbang 8 gol serta 1 bantuan jaringan dalam 20 penampilan untuk pasukan Ulsan Hyundai.
Di peringkat antarabangsa, Martin Adam melakukan debutnya pada tahun 2022 dan kini merekodkan 3 jaringan dalam 22 penampilan untuk Hungary.
“Hantaran di media sosial? Sudah tentu satu atau dua mengenai saya, saya biasanya ketawa mengenainya.
“Saya dilahirkan begini, saya mempunyai bentuk badan ini, saya tidak mengatakan bahawa saya sudah besar ketika dilahirkan tetapi saya mempunyai genetik fizikal ini dan tidak boleh mengubahnya.” ujar Martin Adam.
Martin Adam seterusnya akan membantu Hungary menentang Jerman dan Scotland bagi aksi kumpulan A saingan Euro 2024.