Bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Washington Brandao kembali berkelana ke Vietnam.
Selepas meninggalkan pasukan Pantai Timur itu, Brandao memilih menyertai pasukan lamanya, Hoang Gia Anh Lai FC (HAGL).
Perpindahan penyerang berusia 34 tahun itu diumumkan pengurusan HAGL menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi pasukan itu.
“Pada 21 Januari, selepas melepasi ujian perubatan, kelab HAGL secara rasmi menandatangani penyerang Washington Brandao,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Selepas dua tahun meninggalkan pasukan, Brandao teruja kembali berkhidmat bersama pasukan. Semua ahli HAGL cukup gembira untuk mengalukan Brandao.”
Jurulatih HAGL, Vu Tien Thanh mengakui gembira melihat kelibat bekas penyerang PJ City FC itu kembali menyarung jersi pasukan itu.
“Apabila Brandao kembali, pemain dan jurulatih memberi sokongan 100%. Saya harap Brandao akan cepat menyesuaikan diri dengan pasukan dan membantu pasukan beraksi dengan baik dalam aksi mendatang,” katanya.
Berita ini menyaksikan Brandao menjadi tonggak import terbaru yang meninggalkan Kelantan DN. Beliau menyertai Aung Kaung Mann dan Oday Kharoub yang masing-masing sudah mendapat kelab baru.