Kelantan dilaporkan bakal membawa masuk seorang penyerang import kelahiran Sepanyol setelah sekatan perpindahan ke atas kelab tersebut telah ditarik balik.
Menurut satu kenyataan oleh wartawan MakanBola, Nik Faris, perkara tersebut dikongsikan oleh ketua jurulatih Kelantan selepas perlawanan menentang KL City.
Beliau memberi bayangan bahawa seorang penyerang kelahiran Sepanyol bakal memperkuatkan jentera serangan pasukan. Walau bagaimanapun, nama penyerang terbabit belum dapat dikenal pasti.
Pemain kelahiran Sepanyol tersebut berkemungkinan sudah boleh diturunkan berdepan JDT kelak. Kelantan bakal menentang JDT pada 4 Ogos minggu hadapan.
Sebelum ini, Kelantan dikaitkan dengan seorang pemain kelahiran Jerman yang pernah bermain buat Sabah dan Kedah iaitu Dennis Buschening.
Dikhabarkan bahawa Dennis Buschening sudah menjalani latihan bersama pasukan Kelantan namun foto tersebut telah dipadam segera oleh pasukan.
Setakat ini, Kelantan masih belum mengumumkan sebarang kemasukan pemain import baharu namun dijangka kelab akan membuat pengumuman rasmi dalam waktu terdekat ini.