Pasukan Liga Super, Kelantan FC dijangka akan membuat kejutan apabila difahamkan dalam perbincangan akhir untuk membawa masuk bekas pemain gergasi Bundesliga ke dalam pasukan.
Perkara ini telah pun dimaklumkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham yang menjangkakan akan ada penambahan muka baharu pada jendela perpindahan kedua kali ini.
Bintang kelahiran Jerman berusia 32 tahun ini merupakan tonggak baharu untuk mengisi slot penyerang import kuota ASEAN kerana beliau merupakan pemain berdarah Thailand.
Pemain yang dimaksudkan ini tidak asing lagi dengan pasukan apabila pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Super termasuklah Kedah Darul Aman dan UITM.
“Ya kita ada perbincangan bersama ketua jurulatih untuk membawa masuk beberapa muka baharu. Jurulatih memaklumkan antara posisi yang mahu ditambah baik adalah bahagian pertahanan dan juga jentera serangan.”
Zamsaham juga tidak menolak kemungkinan bahawa bekas bintang Kedah ini akan menyertai The Red Warriors.
“Ada pemain yang tidak pernah beraksi di Malaysia dan ada yang pernah seperti Dennis (Buschening) yang bersama Kedah, kita masih lagi dalam fasa perbincangan,” jelasnya kepada berita RTM.
Bekas penyerang Sabah menjadi individu yang dikaitkan oleh Zamsaham kerana memiliki pengalaman beraksi di Malaysia dan pernah bersama skuad Borussia Dortmund bawah 17 suatu ketika dahulu.
Sebelum ini, seorang pertahanan kental kelahiran Poland juga dikaitkan akan memperkuat Kelantan selepas meninggalkan komen pada hantaran di Instagram Kelantan.
Zamsaham tetap optimis bahawa pasukannya mampu melonjak ke tangga 10 terbaik liga sungguhpun kehilangan ramai tonggak utama musim ini.