Penyerang baru Terengganu FC, Nelson Bonilla telah dipanggil untuk memperkuat skuad kebangsaan El Salvador.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak El Salvador (FESFUT) mengeluarkan senarai 23 pemain untuk aksi Kumpulan A Liga Negara-Negara CONCACAF (CNL) menentang Montserrat dan Bonaire.
El Salvador perlu muncul juara kumpulan bukan saja untuk meraih kenaikan ke divisyen utama CNL. Malah, juara kumpulan akan layak secara automatik ke saingan Gold Cup, kejohanan rantau Amerika berprestij anjuran CONCACAF.
Meskipun kini berusia 33 tahun, bisa dan kepimpinan Bonilla sebagai kapten terus ditagih oleh jurulatih La Selecta, David Doniga.
Ini kerana bekas penyerang Sukhotai itu merupakan penjaring keempat terbanyak sepanjang zaman La Selecta dengan 20 gol daripada 63 penampilan.
Selain penyerang Peteh itu, Doniga turut memanggil Alexander Larin, Brayan Tamacas, Roberto Dominguez dan Narciso Orellana sebagai tonggak berpengalaman pasukan.
Enam tonggak bawah 23 tahun turut dipanggil memperkuatkan El Salvador. Antara nama yang dipanggil Doniga ialah penyerang Cadiz, Francis Castillo dan pemain tengah Alianza FC, Leonardo Menjivar.
El Salvador akan menentang Montserrat pada awal pagi 6 September. Ini disusuli aksi menentang Bonaire pada pagi 9 September. Kesemua perlawanan bakal berlangsung di Rincon, Bonaire.