Penyokong kelab gergasi Scotland, Glasgow Celtic terus teguh berdiri menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Terbaru, kelompok penyokong tegar pasukan itu iaitu Green Brigade bertindak menaikkan sepanduk yang berbunyi ‘Layangkan Kad Merah Kepada Israel’.
Sepanduk itu dinaikkan dalam aksi pusingan play-off Liga Juara-Juara UEFA (UCL) antara Celtic dan Bayern Munich di Parkhead.
Selain sepanduk, anggota Green Brigade turut melayangkan kad merah kepada Israel. Ini kerana mereka berpendapat Israel patut digantung oleh UEFA dan FIFA atas perilaku yang tiada perikemanusiaan ke atas rakyat Palestin.
Video inisiatif yang digerakkan Green Brigade dikongsikan wartawan sukan Maghribi-Sepanyol, Leyla Hamed di platform media sosial beliau.
“Ratusan penyokong Celtic dari kumpulan Green Brigade melayangkan kad merah sebagai tanda bantahan terhadap penyertaan Israel dalam bola sepak semasa aksi menentang Bayern Munich.
“Lebih 730 atlet yang mati dibunuh di Palestin sejak Oktober 2023,” katanya di X.
Sejak imej tersebut dinaikkan, tindakan Green Brigade mendapat sokongan ramai warga media sosial. Pengamal perubatan Palestin, Dr. Anis Omar menyokong tindakan mereka dengan mengulangi slogan tersebut.
“Layangkan kad merah kepada Israel,” katanya di X. Seorang lagi pengguna bernama Hadiaa pula melihat ini satu lagi detik solidariti penyokong Celtic bersama Palestin.
“Solidariti bersama Palestin. Kenyataan yang kuat, penyokong Celtic,” katanya.
Aksi Celtic dan Bayern Munich berakhir dengan kekalahan 2-1 di tangan pelawat. Harry Kane dan Michael Olise memastikan Die Roten memiliki bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Munich.