Sebahagian besar penyokong Liverpool tidak berpuas hati dengan keputusan kelab yang memilih untuk melepaskan khidmat Sadio Mane dan mengekalkan Mohamed Salah .
Hal ini susulan pengumuman rasmi yang dilakukan oleh kelab semalam apabila mengesahkan bahawa bintang Mesir itu akan terus kekal di kelab.
Pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan telah bersetuju dengan kontrak lanjutan selama 3 tahun yang menyaksikan beliau kekal di Merseyside sehingga tahun 2025.
Beliau juga bakal menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi di kelab kira-kira sebanyak € 350,000 seminggu.
Hal ini nyata membuatkan para penyokong The Kops tidak berpuas hati apabila kelab sanggup memenuhi permintaan Salah sungguhpun Mane juga layak untuk menerima tawaran yang lebih baik oleh Liverpool.
Dalam ruangan komen pada satu hantaran terbaru kelab, mereka mempersoal tindakan pihak pengurusan yang memilih untuk mengekalkan Salah.
Para peminat merasakan bahawa keputusan ini diambil atas faktor impak komersial kelab yang dibawa oleh pemain ini.
“Salah menjana wang dan juga penyokong buat Liverpool.”
Bukan itu sahaja, tindakan ini juga menyebabkan penyokong merasakan ia merupakan tindakan yang tidak berbaloi untuk membayar salah dengan jumlah wang yang sebesar itu.
“Tidak berbaloi untuk mengekalkan Salah dengan bayaran gaji sebesar itu,” kata Peter Ross di ruangan komen.
Walau bagaimanapun, keputusan ini dikatakan berpunca daripada Jurgen Klopp yang benar-benar mahu Salah mengetuai projek di Liverpool ketika ini.
Prestasi memukau sejak 4 musim kebelakangan ini juga menjadi salah satu faktor kepada keputusan untuk mengekalkan bintang berprestij ini di Liverpool.