Penyokong Sabah Meninggal Dunia Di Stadium Likas

Addny Elly Sabah FC Penyokong Sabah Meninggal Dunia Di Stadium Likas
Sabah FC
Azim Noor @mohdazim45
12:22pm 10/08/2023

Seorang penyokong Sabah FC tidak sedarkan diri semasa menonton perlawanan Liga Super membabitkan pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC semalam dilaporkan telah meninggal dunia.

Mangsa, Addly Elly bin Mily, rebah semasa penyokong skuad Badak meraikan gol awal Jafri Firdaus Chew pada minit ke-13.

Sebaik menyedari apa yang berlaku, penyokong segera memberi bantuan kecemasan kepada beliau sebelum pasukan perubatan membawanya ke Hospital Queen Elizabeth 1.

Bagaimanapun, Addly Elly dilaporkan telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan dibawa ke hospital.

Susulan itu, pengurusan Sabah FC memaklumkan merasa berdukacita dengan apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

“Allahyarham meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke hospital selepas tidak sedarkan diri semasa menyaksikan perlawanan Sabah FC vs JDT di Stadium Likas semalam (Rabu).

“Sabah FC turut berdukacita, bersimpati dan sekali lagi memanjangkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan hari ini.

Aksi Sabah FC-JDT FC yang berakhir dengan kemenangan 5-1 untuk pelawat semalam menyaksikan 15,000 penonton hadir.