Pengurus Manchester City, Pep Guardiola secara berseloroh menyatakan sokongan kepada West Ham United.
Stadium Astro melaporkan kenyataan spontan itu dibuat selepas sidang media pascaperlawanan City dan Brentford yang berlangsung baru-baru ini.
Selepas menyatakan tentang peluang City mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, bekas jurulatih Barcelona ini secara berseloroh menyokong The Hammers.
Ini kerana kelab London itu akan berentap dengan Arsenal dalam aksi pada Ahad. “Anda perlukan orang seramai boleh untuk kekal cergas. Anda boleh melakukannya kerana kita juga boleh melakukannya.
“Dan macam kita lakukan (sebelumnya), kita boleh lakukannya (mengejar Arsenal). Ayuh, Irons!” katanya sebelum meninggalkan sidang media.
Kenyataan spontan Guardiola membuatkan ramai wartawan yang menghadiri sidang media tersebut tidak kering gusi.
Selepas berjaya menewaskan Brentford 3-0, City kini mengharapkan West Ham untuk mengejutkan The Gunners dalam aksi setempat London.
The Hammers turut memburu tiga mata kerana ingin mengelak daripada menyertai Burnley dan Wolverhampton Wanderers di Liga Kejohanan musim hadapan.
Mereka kini bersaing dengan Tottenham Hotspur untuk kekal dalam EPL musim hadapan. Keputusan ini juga mempengaruhi Spurs kerana mereka akan menentang Leeds United pada 12 Mei.